HIMPUNAN KULIAH TAFSIR




Kuliah Tafsir 01 - Tafsir al-Maidah ayat 78-79 - Ulama Israil raikan majlis maksiat
Dilaknat pada zaman Nabi Isa a.s., apabila ada di kalangan Bani Israil menjadi babi kerana mendurhakai Allah. Ada antaranya Allah mengurniakan mereka Nabi Isa a.s. yang dilahirkan daripada perempuan yang sangat solehah dan kuat beribadat kepada Allah iaitulah Mariam a.s. Apabila Mariam mengandung Isa a.s., Mariam dituduh berzina, memang dia tidak mempunyai suami, lalu Allah membuktikan bahawa Mariam tidak berzina.
Anak yang dilahirkan itu kurniaan Allah yang menjadi tanda kebesaran-Nya. Setelah Allah menjadikan Adam a.s. tanpa ayah dan ibu, Hawa di ciptakan daripada tulang rusuk Adam. Allah menjadikan Isa a.s. tanpa ayah. Setelah Isa a.s. dilahirkan dan dalam keadan masih menyusu itu dibawa oleh Mariam a.s., Bani Israil datang mengerumuni Mariam sambil bertanya: "Wahai Mariam! Mengapa kamu melakukan ini (zina sehingga melahirkan Isa a.s.)?"
Mariam diperintah oleh Allah dengan wahyi daripada Malaikat Jibrail a.s. supaya jangan bercakap. Mariam diperintahkan berpuasa, termasuk tidak bercakap. Hanya mengisyaratkan supaya bertanyakan hal itu kepada anaknya yang masih bayi. Tiba-tiba anak yang masih bayi itu bercakap: "Sesungguhnya aku hamba Allah," dan menjelaskan bahawa dia dilantik menjadi nabi, beliau telah berkata-kata pada usia bayi yang pada adatnya tidak menasabah bayi bertutur dengan fasih.
Beliau menegaskan beliau adalah seorang nabi dan rasul sebelum sampai usia dewasa. Allah mengurniakan makjizat kepada nabi Isa a.s., antara makjizatnya; boleh menceritakan kepada kanak-kanak sebaya dengannya di mana emak mereka di rumah menyembunyikan kuih yang siap dimasak. Ini adalah antara mukjizat untuk membutikan Isa a.s. sebagai seorang nabi. Lalu mereka marah kepada Nabi Isa a.s.
Sesetengah kitab termasuk kitab jawi, 'Al-Jauharul Mauhuub Wamunabbihaatul Quluub' menyebut kisah ini. Mereka mengurung kanak-kanak di satu tempat supaya tidak berkawan dengan Nabi Isa a.s. Ini bertujuan untuk memulau Nabi Isa a.s. Dikurniakan oleh Allah mukjizat, apabila Isa bertanya di manakah kawan-kawannya, mereka menjawab tidak ada. Tetapi beliau bertanya pula siapakah yang dikurung itu? Dijawab itu babi. Tiba-tiba kanak-kanak yang dikurung itu menjadi babi. Dan Allah boleh mengembalikan semula manusia yang menyerupai babi itu dengan izin-Nya.
Sementara itu berlaku beberapa kisah yang lain, selepas nabi Isa a.s. dibangkitkan menjadi rasul. Walaupun dalam riwayat ini ada antaranya berunsur Israiliyyat (cerita dibawa orang-orang Yahudi) jika tidak bercanggah dengan nas kita menerimanya. Jika sebaliknya wajib menolaknya. Jika tiada nas ia menjadi cerita biasa. Itu adalah kekuasaan Allah dan menjadi dalil bahawa Allah melaknat Bani Israil.
Firman Allah yang bermaksud: "Yang demikian itu dengan sebab mereka itu mendurhakai Allah dan adalah mereka itu melampaui batas." (Surah al-Maidah: 78)
Allah menyebut kejahatan yang besar dilakukan oleh mereka terutamanya dari kalangan orang-orang alim mereka.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Adalah mereka itu tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan, alangkah buruknya perbuatan mereka itu." (Surah al-Maidah: 79)
Mereka tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka. Orang alim di kalangan mereka mendiamkan diri dan buat tidak mengetahui apa yang berlaku.
Hadis riwayat Imam Ahmad dari Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Ketika berlaku maksiat di kalangan Bani Israil, di peringkat awalnya orang-orang alim mereka mencegah perbuatan itu. Tiba-tiba bani Israil tidak mendengar tegahan itu dan terus melakukan maksiat. Selepas itu orang-orang alim duduk makan minum sekali dalam majlis mereka."
Selepas Bani Israil terus menerus melakukan maksiat, orang-orang alim tidak lagi bersungguh mencegah maksiat bahkan berkawan pula. Jika ada jemputan ke majlis golongan maksiat mereka bersegera menghadiri majlis itu dan makan serta minum sekali dengan golongan tersebut.
Jika era sekarang hadir menjadi orang yang membaca doa majlis serupa dengan alasan sekadar membaca doa sahaja walaupn majlis maksiat. Selepas menghadiri majlis berkenaan, orang-orang alim itu tidak lagi mencegah maksiat yang dilakukan walaupun golongan alim itu tidak melakukannya.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Masjid Rusila.


Kuliah Tafsir 02 -Tafsir al-Maidah ayat 79: Mesti tegur menegur
Mesti ada tegur menegur antara satu sama lain. Sebagai contoh jika isteri melakukan maksiat, suami mestilah menasihatinya, begitulah sebaliknya. Para ulama menyatakan bahawa orang yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu bukan semestinya meninggalkan maksiat. Ertinya, tidak menjadi masalah menunaikan suruhan amar makruf nahi mungkar walaupun seseorang itu melakukan maksiat. Tangungjawabnya dalam soal mencegah kemungkaran, sudah ditunaikan sementara maksiat yang dibuat pula sudah pasti merupakan suatu dosa yang dikenakan ke atas perbuatan itu.
Perbuatan cegah mencegah antara satu sama lain tidak berlaku di kalangan kaum Bani Izrail.
Cegah mencegah antara satu sama lain boleh berlaku antara ahli maksiat. Misalnya, ada di kalangan kaki judi atau pencuri merasakan perbuatan mereka itu perlu ditinggalkan kerana ia tidak mendatangkan faedah satu pun melainkan menyusahkan orang lain. Lalu mereka nasihat mensihati antara satu sama lain sekali gus meninggalkan perbuatan berkenaan. Ini bermakna bukan ahli maksiat itu tidak mengerti bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu tidak baik tetapi nafsu bermaharajalela dalam diri mereka menyebabkan perbuatan itu masih menjadi amalan mereka. Akhirnya dengan hidayah Allah mereka meninggalkan perbuatan jahat itu. Menurut hukumnya sah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu berlaku di kalangan orang yang melakukan maksiat. Ini kerana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, ;sesungguhnya kadang kala Allah menolong agama ini dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang jahat.
Ini kerana apabila orang baik tidak berani, Allah jadikan orang jahat mencegah kemungkaran supaya penduduk sesuatu kampung itu tidak diturunkan bala. Menjadi sebab turunnya bala ke atas umat zaman dahulu kerana tidak ada di kalangan mereka orang yang mencegah kemungkaran. Di kalangan umat Muhammad pula, pernah berlaku Islam ditolong oleh orang fasik. Menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran berlaku di kalangan mereka dan perbuatan itu dikira sah di sisi ulama.
Tidak menjadi syarat orang yang menyuruh melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada sebarang kejahatan dan maksiat. Tidak dinafikan pentingnya sesiapa yang menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada maksiat tetapi tidak menjadi halangan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencegah kemungkaran walaupun mereka sendiri melakukan maksiat. Disebut di dalam hadis sahih di dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa terdapat seorang lelaki pada hari kiamat, perutnya panjang berjela-jela dan diikat pula pada penunggul. Kemudian perutnya diheret menggelilingi penuggul tersebut seperti beruk mengheret tali di sekelilingnya.
Manusia mengerumuni mereka seraya bertanya,; kenapa kamu dijadikan sedemikian rupa sedangkan di dunia dahulu kamulah orang yang sedap bercakap dan kamu ini seorang ustaz yang kerja kamu mencegah orang daripada melakukan maksiat dan menyuruh mereka melakukan kebaikan?" Lalu dia menjawab,"aku menyuruh orang buat baik tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan yang Allah berikan kepada aku.
Yang melakukan maksiat, Allah akan menghukum dan memberi balasan setimpal dengan perbuatannya. Bagaimanapun kewajipan amar makruf nahi mungkar suatu tanggungajawab yang mesti ditunaikan oleh sesiapa sahaja di kalangan umat Islam. Berlaku pada zaman dahulu, seorang raja yang tabiatnya suka minum arak. Walaupun demikian dia tetap mengharamkan arak dan menghukum rakyatnya yang meminum minuman memabukan itu. Tetapi dia sendiri adalah peminum arak, masih tidak meninggalkan perbuatan haram tersebut.
Ertinya perbuatan menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran hendaklah dilakukan oleh umat Islam. Dalam hadis yang lain diriwiyatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud,; Sesungguhnya Allah, tidak mengazab orang ramai dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang yang khusus (Allah tidak mengazabkan orang ramai apabila ada golongan tertentu mengerjakan maksiat di kalangan mereka) sehinggalah mereka melihat maksiat berlaku di kalangan mereka sedangkan mereka mampu mencegahnya tetapi tiba-tiba mereka tidak mencegahnya.
Apabila berlaku demikian Allah Ta’ala mengazabkan orang yang khusus (tertentu) mengerjakan maksiat dan orang ramai yang tidak melakukan maksiat turut sama ditimpakan azab. Ini adalah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Masjid Rusila
.

Kuliah Tafsir 03. Surah al-Maidah ayat 79: Cegah mungkar dengan kekuasaan
   Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang disebut oleh Ibnu Majah di dalam kitabnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; Suruhlah kamu kepada yang baik dan cegahlah kamu daripada kemungkaran, sebelum berlaku bahawa kamu berdoa, tetapi tidak diperkenankan kepada kamu. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman.
   Seseorang itu jika melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya, sekiranya boleh diubah dengan tangan, makan gunakanlah ia, jika berkuasa berbuat demikian. Sebagai contoh sekiranya benda itu layak dibakar api atau dihancurkan, maka benda itu perlulah dilakukan demikian selepas ditegur dengan lidah, kemungkaran itu tetap tidak berubah dengan syarat jangan membawa fitnah yang lebih besar. Yakni sekiranya cegahan dibuat dengan tangan, berlaku tindakan yang lebih besar fitnahnya maka ia adalah dilarang kerana kita hendaklah mengelak fitnah yang lebih besar. Ertinya jika menggunakan tangan, kemungkaran itu berhenti, maka adalah wajar cegahan dengan tangan digunakan.
   Sesetengah ulama mengatakan bahawa yang mempunyai kemampuan itu adalah kerajaan. Dia berupaya menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dengan tindakan undang-undang. Jangan pula berlaku kerajaaan sendiri memberi lesen untuk membenarkan orang ramai melakukan maksiat atau kemungkaran dengan meluluskan lesen judi, arak an seumpamanya. Kerajaan memberi alasan kononnya tindakan tersebut bertujuan mengawal kegiatan maksiat di kalangan rakyat. Jika demikian kenapa lesen mencuri tidak diberikan kepada pencuri dan perompak untuk mengawal berlakunya kecurian dan rompakan?
   Bukan bererti mengawal sesuatu kegiatan itu dengan memberi lesen kepada sesuatu organisasi atau indivisu tetapi mengawal juga boleh berlaku dengan menyediakan tempat atau sebaliknya. Jika diambil contoh untuk mengawal supaya orang ramai tidak buang air merata justeru disediakan tandas, bukan bererti untuk mengawal kecurian dan rompakan disediakan pulatempat untuk aktiviti jenayah berkenaan. Ini kaedah yang tidak boleh dipakai dari segi undang-undang dan akal fikiran yang waras. Bukan semua kaedah boleh dipakai dalam semua perkara kerana kaedah penyelesaiannya berlainan antara satu perkara dengan satu perkara lain.
   Misalnya, untuk menimbang emas dan getah mestilah memakai dacing berbeza bukan hanya dengan menggunakan satu dacing sahaja. Ertinya pemerintah mesti mencegah kemungkaran, iaitu mengenakan tindakan undang-undang mengikut hukum Islam terhadap segala kesalahan jenayah dan maksiat kerana inilah maknanya mengubah dengan tangan. Dan antara orang yang mampu mengubah dengan tangan juga adalah ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka melakukan kemungkaran termasuk tidak mengerjakan solat maka menjadi tanggungjawab ibu bapa menggunakan kuasa yang ada pada mereka termasuk menggunakan tangan bagi mengubah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh anak-anak mereka.
   Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun. Pukullah mereka bila umurnya 10 tahun (jika tidak mengerjakan sembahyang).Begitulah juga dalam perkara yang lain. Apabila seseorang anak itu mencapai umur 10 tahun, maka diizinkan mengenakan tindakan memukul ketika melakukan kesalahan yang bercanggah dengan hukum agama.Pukulan yang dibuat ialah pukulan mendidik, bukan pukulan marah dan geram yang mencederakan tubuh badan anak berkenaan.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Masjid Rusila, Marang, Trg


Kuliah Tafsir 04. Surah al-Maidah ayat 80-82: Ilmu di kalangan orang fasik
Ilmu dikurniakan di kalangan mereka yang hina. Yang dimaksudkan dengan ilmu di kalangan orang yang hina adalah ilmu di kalangan orang yang fasik. Orang yang fasik bercakap tentang ilmu bersandarkan ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Apabila keadaan ini berlaku menjelaskan bahawa inilah penyakit yang melanda umat zaman dahulu.
Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak berjalan kerana orang yang fasik mempunyai sifat penakut kerana rohnya tidak kuat dan mereka pula takut kepada dosanya. Mereka sedar bahawa mereka mempunyai ilmu dan dosa. Mereka sedar bahawa mereka mempunyai perasaan takut mati. Orang sedemikian rupa mendapat ilmu dalam perkara agama. Apabila berlaku keadaan demikian, maka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran ditinggalkan, tidak dilaksanakan dengan jayanya.
Seterusnya Allah Taala berfirman yang bermaksud,; Engkau melihat kebanyakan daripada mereka itu berwalikan kepada orang-orang yang kafir. (Surah al-Maidah: 80)
Kebanyakan daripada mereka itu (orang kafir dari ahlil kitab) berwalikan kepada orang-orang kafir. Yang dimaksudkan dengan berwalikan dengan orang kafir di sini adalah berwalikan kepada orang kafir musyrikin seperti orang kafir Makkah. Inilah kawan mereka, tidak menjadi pengikut Nabi Muhammad s.a.w. pada hal mereka mengetahui isi kandungan kitab Allah.
Sesetengah ulama lain menyatakan yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah orang-orang munafik. Dia mengaku beriman sedangkan hatinya tidak beriman. Antara dalilnya adalah berwalikan kepada orang kafir dengan sebab itulah mereka tidak menjalankan perintah Allah dengan cara yang betul dan bersungguh.
Firman Allah yang bermaksud,; Alangkah buruknya apa yang mereka kemukakan untuk diri mereka.(Surah al-Maidah: 80)
Kalau itulah amalan mereka maka itulah amalan yang buruk, tidak boleh menjadi bekalan pada hari kiamat.
Firman Allah yang bermaksud,; bahawa Allah memurkai mereka itu. (Surah al-Maidah: 80)
Allah Taala memurkai golongan seperti ini kerana tidak mencegah kemungkaran, reda kepada perkara tersebut dan berwalikan kepada orang kafir.
Firman Allah lagi yang bermaksud, ;Dan di dalam azab neraka mereka kekal selama-lamanya.(Surah al-Maidah: 80)
Apabila mereka menjadi kufur kepada perintah Allah sudah pasti mereka kekal di dalam neraka.
Firman Allah yang bermaksud, ;Kalaulah sekiranya mereka itu benar-benar beriman kepada Allah dan kepada Nabi s.a.w. dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (al-Quran), tidaklah mereka itu menjadikan orang kafir itu sebagai wali mereka. Dan kebanyakan daripada mereka itu adalah orang-orang yang fasik (keluar daripada taat kepada Allah dan rasul-Nya s.a.w.)(Surah al-Maidah: 81)
Mereka tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya sekali gus menolak al-Quran sebagai kitab panduan kehidupan mereka di dunia ini.
Firman Allah yang bermaksud, ;Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad s.a.w.) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berkata, bahawa kami ini ialah orang-orang Nasara. Yang demikian itu disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli ibadat dan kerana mereka tidak pula berlaku sombong. (Surah al-Maidah: 82)
Para ulama membincangkan sebab turunnya ayat ini. Al-Qurtubi dan Ibnu Kathir serta ulama-ulama tafsir yang lain telah menyebut beberapa peristiwa yang berkait dengan ayat ini dan mereka mengatakan bahawa peristiwa-peristiwa ini adalah sebab kepada Allah SWT menurunkan ayat ini untuk menjadi pengajaran kepada orang-orang yang beriman.
Yang pertama ayat ini diturunkan bersempena dengan Raja Najasyi (Raja Habasyah), pembesar-pembesar dan pengikut-pengikutnya, apabila tiba kepada mereka orang-orang Islam yang berhijrah dalam peristiwa hijrah yang pertama sebelum daripada berhijrah ke Al-Madinatil Munawwarah.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Masjid Rusila, Marang, Trg


Kuliah Tafsir 05 - Tafsir Al-Maidah ayat 82 - Nabi anjur solat ghaib untuk Najasyi
Mengikut satu riwayat datang serombongan dari Najran, iaitu satu kabilah kabilah Arab yang menganut Kristian.Mengikut satu riwayat lain, mereka ini dari Najran datang mendengar Nabi s.a.w. membaca ayat al-Quran lalu mereka menangis dan kemudiannya memeluk Islam. Mengikut satu riwayat yang lain, Ja'afar bin Ab Talib r.a. sendiri pulang ke Madinah bersama-sama dengan 70 orang. Di kalangan mereka disertai 62 orang dari Habasyah serta lapan orang Nasrani (Kristian) dari negeri Syam.
Antaranya Buhairo' Ar-Rohib, seorang Rohib yang beribadat, Idris, Asyraf, Abrahah, Sumamah, Fusam, Duraid dan Aiman. Riwayat ini menyebut nama mereka yang datang dari negeri Syam secara satu persatu. Mereka mendengar Rasulullah s.a.w. membaca ayat daripada Surah Yasin daripada awal sehingga akhirnya.
Apabila mereka mendengar surah Yasin mereka menangis seraya berkata, "alangkah serupanya ini (ayat-ayat yang dibaca itu) dengan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Isa a.s." Lalu mereka memeluk Islam dan Allah menurunkan ayat ini.
Sementara itu diriwayatkan oleh as-Suddi, seorang ulama tafsir bahawa Raja Habasyah, Najasyi, menjawab surat Rasulullah s.a.w. dan dia hendak berhijrah ke Madinah. Mengikut riwayat As-Suddi, dia mahu berhijrah tetapi mati di tengah jalan.
Mengikut satu riwayat yang lain, Najasyi telah menjawab surat Rasululah s.a.w. dan mengatakan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia sendiri mahu berhijrah ke Madinah untuk menemui  Rasulullah s.a.w.
Sekiranya Rasulullah s.a.w. menyuruhnya berjalan kaki nescaya dia akan berjalan kaki untuk menemui baginda s.a.w. walaupun dia seorang raja yang memerintah negeri Habasyah. Ini menunjukkan tawaduknya Najasyi terhadap baginda s.a.w.
Bagaimanapun Najasyi  telah meninggal dunia di Habasyah belum sempat bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
Peristiwa kematiannya diberitahu oleh Malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w. lalu Nabi s.a.w. memberitahu kepada para sahabatnya bahawa pada hari Najasyi telah meninggal dunia dan dia adalah seorang yang beriman. Al-Quran diturunkan untuk menceritakan bagaimana kemuliaan hatinya. Nabi s.a.w. bangun seraya mengajak para sahabatnya bersembahyang ghaib untuk Najasyi.
Ini adalah sunnah ataupun ajaran Nabi s.a.w.yang berkait dengan sembahyang ghaib (sembahyang kepada jenazah yang jauh).
Diberitakan terdapat di kalangan rakyatnya yang memberontak tetapi Najasyi berjaya menentang pemberontakan itu serta mengalahkan mereka. Najasyi meninggal dunia sebagai seorang yang beriman.
Allah Ta'ala menurunkan ayat ini bersebab daripada peristiwa-peristiwa tersebut. Allah berfirman yang bermaksud, "engkau akan dapati (wahai Muhammad s.a.w.) manusia yang paling bermusuh dengan orang yang beriman itu adalah orang-orang Yahudi dan Musyrikin." (Surah al-Maidah: 82)
Dua  golongan ini paling jahat dan paling bermusuh dengan orang  Islam serta orang beriman. Mereka ini termasuk orang Yahudi yang terkenal dengan sifat jahat dan dengki mereka terhadap orang beriman. Mereka juga terkenal dengan sejarah, membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul a.s. di samping membunuh para ulama serta menghina mereka.
Ini adalah kerja orang-orang Yahudi termasuk menghina Nabi Muhammad s.a.w. Merekalah yang menasihatkan orang-orang Quraisy supaya membentuk tentera Ahzab bagi memerangi Rasulullah s.a.w.
Apabila mereka ditanya oleh orang-orang musyrikin kerana mereka (orang-orang Yahudi) terdiri daripada kalangan ahlil kitab, "manakah yang benar sama ada ajaran kami atau ajaran Muhammad?" Lalu orang Yahudi menyembunyikan kitab.  Mereka memberitahu kepada orang musyrikin, "kamulah yang betul manakala Muhammad adalah sesat."
Mereka mendorong orang-orang musyrikin memusuhi orang Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Sifat orang-orang Yahudi ini berpanjangan sehingga hari ini. Mereka paling bermusuh dengan orang Islam sampai sekarang sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dan sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.
Di kalangan merekalah yang merancang untuk meletakkan racun ke dalam makanan Rasulullah s.a.w. sehingga membawa kepada sakit dan wafatnya baginda s.a.w.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Masjid Rusila, Marang, Trg



Kuliah Tafsir 06 - Ujian Allah ke atas umat ketika berihram - Tafsir Al-maidah ayat 94
Sebenarnya ayat ini diturunkan kepada mereka yang mati dalam keadaan beriman sebelum diharamkan arak dan judi. Termasuklah mereka yang dimaafkan oleh Allah kerana melakukan kesalahan itu dengan jahilnya. Umpamanya seseorang itu baru sahaja masuk Islam. Dia tidak mengetahui arak dan judi diharamkan oleh Allah. justeru dosanya itu diampunkan oleh Allah.
Ataupun orang yang gila (hilang akal) dan melakukan perkara yang diharamkan itu turut diampun oleh Allah SWT. Mereka itu dikecualikan oleh Allah SWT daripada hukum akhirat dan dikecualikan juga daripada hukum dunia.
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, demi sesungguhnya Allah menguji kamu semasa kamu berihram dengan binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan mudah kena tikaman lembing-lembing kamu supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yangh takut kepadaNya dan semasa ia tidak dilaihat orang." Oleh itu sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab yang tidak teperi sakitnya." (Surah Al-maidah:94)
Ayat-ayat ini termasuk di dalam ayat-ayat yang berkaitan engan makan dan minuman. Antara perkara yang menjadi amalan orang-orang Arab mencari makan ialah berburu binatang. Di dalam ayat ini Allah mengingatkan mereka bahawa mereka diuji oelh Allah SWT dengan perburuan.
Firman Allah yang bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman, demi sesungguhnya Allah menguji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan" (Al-maidah :94)
Sesetengah ulamak menyatakan bahawa ayat ini diturunkan pada tahun Hudaibiyah, pada tahun Rasulullah s.a.w menuju ke Makkah untuk melakukan umrah lalu disekat oleh orang-orang musyrikin dan selepas itu berlakunya perjanjian Hudaibiyah.
Pada tahun itu mereka bersama-sama Rasulullah menuju ke Makkah. Ada antara mereka yang memakai ihram dan ada diantara mereka yang sebaliknya. Mereka diuji oleh Allah SWT dengan banyaknya binatang buruan yang melintas di hadapan mereka.
Allah mengaskan bahawa Dia akan menguji kamu dengan binatang buruan. Menurut hukum syarak, diharamkan kepada orang-orang yang sedang ihram berburu, menangkap binatang buruan serta menyembelihnya.
Perkara ini menjadi ujian kepada mereka yang bersama Rasulullah s.a.w sebagaimana Allah pernah menguji Bani israil dengan banyaknya ikan berhimpun di pesisir pantai pada hari Sabtu. Begitulah juga para sahabat diuji oleh Allah dengan banyaknya binatang buruan ketika mereka dicuba dengan ujian Allah ke atas umat ketika berihram bersama-sama dengan Nabi s.a.w.
Sesetengah ulama mengatakan bahawa ayat ini ditujukan khusus kepada orang yang berihram termasuk pendapat Ibnu Abas r.a. sementara sesetengah ulama yang lain mengatakan bahawa ayat ini juga ditujukan kepada orang yang tidak ihram sebagaimana pendapat Imam Malik.
Sebaik-baiknya ayat ini menjadi ujian kepada semua termasuk kepada orang yang di dalam ihram dan kepada orang yang tidak ihram yang menjadi pemburu binatang. Semuanya diuji oleh Allah kerana orang yang berburu berada di dalam hutan ketika tidak ada manusia lain disampingnya.
Persoalannya adakah dia memakan binatang yang dihalalkan oleh Allah ataupun sebaliknya. Adakah dia memakan binatang yang diburu itu mengikut hukum syarak ataupun tidak. Mengikut hukum Syarak pada asalnya binatang itu hendaklah disembelih. Mengikut hukum syarak juga dihalalkan binatang perburuan yang dibunuh dengan alat perburuan yang tajam dan mengoyakkan kulit serta daging sekaligus menembusi jasad binatang buruan itu.
Sementara kebanyakan ulama mutakhirin (kotemporari) menyatakan bahawa binatang buruan yang ditembak dengan senjata yang menggunakan bahan letupan pada zaman seakrang ini juga dihalalkan kerana ia mempunyai kekuatan ketajaman dengan berpandukan kepada kitab-kitab feqah di zaman silam yang mengatakan bahawa senjata yang menggunakan bahan tersebut tidak dibolehkan.
Sementara ulama mutakhirin mengatakan bahawa peluru pada zaman dahulu dibuat daripada tanah yang dibakar dan dilontarkan menggunakan bahan letupan berbeza dengan peluru yang ada di zaman ini yang mempunyai kekuatan ketajaman. Antara mereka yang menghalalkan perburuan dengan senjata letupan ini ialah Imam Nawawi di dalam Kitab Fatawanya, Syed Sabiq di dalam kitabnya Fiqhus Sunah dan beberapa orang ulama lain lagi di dalam kitab-kitab muktabar kontemporari.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Masjid Rusila, Marang, Trg

Info dan kemusykilan agama bersama al-faqiru ila Allah Sheikh Fauzi

Isu
1. Kayu koka
2. Bulan Islam

3. Pertubuhan Islam
4. Simpanan di bank
5. Bekerja dengan jabatan yang zalim dan korup
6. Puasa dan raya ikut siapa?



1.
Kayu koka
Semasa berehat di kedai kitab sheikh Rahman, saya didatangi kenalan lama yang lantas mencapai sebuah buku ringan dan menunjukkan petikan yang memaparkan kelebihan kayu koka. Kenalan saya itu meminta penjelasan saya pula. Kenalan saya itu memang dikenali taksub.........klik di ruangan -maklumat lanjut di atas di dalam pautan - INFO dan KEMUSYKILAN AGAMA

foto hari ini - buku yang perlu dibaca

foto hari ini - buku yang perlu dibaca
Ahmadinejad dalam isu Palestin

foto hari ini 02 - Penulis mendengar tazkirah Ramadhan dari Us. Bakar Chik.

foto hari ini 02 - Penulis mendengar tazkirah Ramadhan dari Us. Bakar Chik.
Tazkirah Ramadhan adalah bermanfaat.

Sebenarnya kita sendiri yang patut ajar anak-anak kita mengaji seboleh-bolehnya.

Rupa-rupanya bapanya pengedar quran dan rehal...